Kisah Anas Zikry – Rheumatic Carditis Fighter (Siri 2)

Hari ni kak long nak share apa yang terjadi kepada kami sekeluarga bermula dari sebelum Ramadhan 2014 hingga ke saat ini…Untuk lebih spesifik sebenarnya ia lebih kepada kisah

kisah anas zikry
Anas Zikry 1 tahun

Hari ni kak long nak share apa yang terjadi kepada kami sekeluarga bermula dari sebelum Ramadhan 2014 hingga ke saat ini…Untuk lebih spesifik sebenarnya ia lebih kepada kisah putera sulung kak long iaitu Anas Zikry.

Ia bermula 3 minggu sebelum puasa, Anas mengadu sakit-sakit di dada kiri. Pada mulanya kami menyangka ia pedih ulu hati. Sebab Anas ni ada kalanya tak nak makan jadi perutnya mudah masuk angin. Namun ia berulang pada sebelah malam.

En suami terus membawa Anas ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.. Waktu malam, biasanya terus ke kecemasan. Kak long hanya tinggal di rumah bersama anak-anak lain. Apabila suami kak long balik, beliau cuma diberitahu yang tiada apa-apa pun yang terjadi, ubat yang dibekalkan hanyalah Paracetamol dan doktor bertugas berkata mungkin Anas mengigau ketika tidur dan Paracetamol adalah untuk memudahkan dia tidur.

Paracetamol yang dibekalkan kepada Anas

Jadi bila mendengar nasihat doktor, kami pun tidak menyangka yang buruk-buruk (kesilapan terbesar kami sebenarnya). Paracetamol tu kak long sekadar simpan je takdelah bagi Anas makan pun. Sebab lepas balik hospital tu dia terus tidur.

Namun disangka panas hingga ke petang. Keadaan menjadi semakin buruk selepas 2 minggu. Selera makan Anas semakin berkurang, sendi-sendi beliau mula terasa sakit dan wajah Anas semakin pucat. Beratnya turun mendadak. Masih tak menyangka yang sesuatu yang serius sedang berlaku, kak long sekadar memberi dia ubat paracetamol yang dibekalkan dan tambahan vitamin-vitamin yang biasa Anas makan.

Namun, pada hari Ahad (14 Jun 2015) kak long sekali lagi membawa Anas ke klinik panel untuk bertanya pendapat (memandangkan pernah dibawa ke GH sebelum ini). Di klinik panel, kami diberitahu untuk terus merujuk kes Anas ke hospital. Doktor bertugas ketika itu memberitahu ada sedikit bunyi lain ketika beliau memeriksa degupan jantung. Katanya bunyi murmur. Dan biasanya ia terjadi jika ada masalah injap pada jantung.

Akhirnya di sini terungkai penyakit sebenar Anas

Setelah berbincang dengan suami, kami sepakat nak membawa Anas ke hospital swasta yang berhampiran pada keesokan harinya. Setibanya di sana, doktor pakar kanak-kanak tersebut terkejut dan Anas terus dibawa ke wad kecemasan. Beberapa pakar dipanggil termasuk pakar kanak-kanak dari GH. Anas terus di x-ray, dripping dan kemudian dibuat echo cardiagram untuk melihat dengan lebih jelas kawasan jantung yang terlibat.

Hasil x-ray tersebut jelas kelihatan jantung Anas telah membengkak sehingga 2 kali ganda dan paru-paru Anas dipenuhi air. Setelah membuat echo, memang ada kecederaan pada 2 injap jantung Anas iaitu di injap mitral dan injap aortic.

Anas telah didiagnosiskan RHEUMATIC CARDITIS with BRONCHOPNEUMONIA OEDEMA.

Rheumatic Carditis – Injap koyak disebabkan ada jangkitan kuman. Kes Anas, ada 2 injap yang dijangkiti
Kesan dari jantung bengkak, paru-paru turut membengkak sebab ada lebihan air

Hari yang sama, Anas telah dimasukkan ke wad UNIT RAWATAN RAPI. Maka bermulalah perjalanan Anas di dalam wad. Hari kedua menampakkan perubahan positif. Doktor yang in-charge Anas telah berkomunikasi dengan pakar jantung di IJN dan beberapa ubatan telah dimulakan sejak dari hari pertama lagi.

Memandangkan keadaan Anas yang agak kritikal, semua ubat dimasukkan melalui tiub. Nampak sungguh terseksa Anas ketika ini, sampel darah diambil beberapa kali untuk pelbagai ujian antaranya untuk memastikan adakah ia jangkitan bakteria atau virus dan dari jenis apa. Hari ketiga, keputusan dah diperolehi dan ia memang sah dari jangkitan virus Streptococcus pyogenes

Inilah bakteria yang menyerang jantung Anas

Masa hari ketiga ni, nampak keadaan Anas semakin pulih, selera makan bertambah, nampak lebih bertenaga dan ceria. Memang masa tu cuma terfikir yang dia makin sembuh. Jadi Kak long pun memberanikan diri meninggalkan Anas di wad untuk membawa Muaz ke tempat mengaji setelah cuti beberapa hari.

Namun rupa-rupanya kaklong silap percaturan. Anas masih dalam keadaan kritikal. Sangat menyesal. Setibanya kaklong di wad ICU Hospital Pantai petang tu, Anas sangat tak stabil. Sepeninggalan kak long, bacaan SpO2% (tahap oksigen dalam darah) Anas menurun sehingga di bawah 90%t. Ini menyebabkan topeng oksigen Anas telah bertukar.

Gambar ihsan Google: Tapi beginilah keadaan Anas di ICU.

Ia menjadi lebih buruk menjelang Maghrib dan doktor pakar anaestetik telah dipanggil. Dalam keadaan Anas meronta-ronta tak mahu dipakaikan C-PAP, doktor tersebut terpaksa membuat prosedur tubing. Anas ditidurkan dan prosedur dilakukan dengan lancar.

Memandangkan keadaan Anas yang sangat tidak stabil, doktor pakar kanak-kanak yang bertugas menjaga Anas telah menghubungi doktor pakar di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh. Anas mesti dipindahkan ke sana kerana hanya di HRPB terdapat kemudahan ICU Paediatrik.

Nak tahu kisah seterusnya, nantikan Siri 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge